Bendera Arab Saudi Dijadikan Skirt Pendek, Mowalola Janji Tarik Balik Dari Koleksi

Foto: Probolinggo Times - Jatim Times

LONDON – Jenama pakaian Mowalola berjanji akan menarik balik skirt pendek yang mempamerkan bendera Arab Saudi daripada koleksinya selepas menerima kecaman netizen, lapor portal berita  Middle East Eye.

Skirt pendek itu dipakai oleh seorang model wanita pada Pertunjukan Fesyen Musim Panas (SS24) di London kelmarin.

Orang ramai di media sosial mengecam reka bentuk skirt itu kerana tertera dua kalimah syahadah dalam bahasa Arab dan sekali gus tidak menghormati agama Islam.

Terdapat sebilangan model lain yang memakai skirt pendek menampilkan bendera-bendera negara lain pada pertunjukan fesyen berkenaan, namun ramai menyatakan bahawa bendera Arab Saudi tidak sepatutnya digunakan kerana mengandungi ayat suci.

“Isu tentang skirt mini ini bukan untuk mempertahankan negara Arab Saudi tetapi ayat ini suci kepada berbilion-bilion umat Islam. Susah sangatkah untuk memahaminya?” kata seorang netizen di media sosial.

Pereka fesyen itu, Mowalola Ogunlesi kemudian meminta maaf berikutan pertunjukan skirt mini tersebut yang dapat dilihat dalam  aplikasi X dan berjanji menarik semula daripada koleksinya.