Raja Azmi Lebih Selesa ‘On’ & ‘Off’ Bertudung, Pakai Ikut Kesesuaian Majlis

Kuala Lumpur: Penerbit filem dan pelakon, Raja Azmi, 64, mengaku dia belum lagi memakai tudung sepenuhnya, namun selesa menggayakan mengikut kesesuaian majlis yang dihadiri.

Raja Azmi ditemui berkata, dia memilih untuk tidak memakai tudung secara konsisten lagi kerana menyifatkan banyak aurat lain yang perlu ‘ditutup’ dan bukan rambut saja semata-mata.

“Saya memang ‘on’ & ‘off’ pakai tudung. Memang pilihan saya sendiri. Pada saya, aurat bukan tutup rambut saja tapi banyak lagi seperti jaga mulut, pandangan mata. Jadi, buat masa ini saya masih memilih kadang-kadang nak pakai tudung dan kadang-kadang tak pakai.

“Saya pilih kepada kesesuaian. Kalau nak menghadiri majlis ilmu dan agama, saya pakai tudung lengkap. Tapi, kalau hadir majlis biasa-biasa atau urusan kerja, saya tampil ringkas ikut keselesaan,” katanya kepada Harian Metro.

Ditanya juga persepsi pengikutnya di Instagram dan netizen, Raja Azmi berkata, memang ada yang bertanya apabila dia membuat perkongsian foto tidak bertudung sepenuhnya.

“Dulu memang ramai yang bertanya, mana pergi tudung dan saya akan jawab terlupa, tudung dah ke laut, dan bermacam lagi jawapannya. Saya mengaku saja dan memohon maaf.

Tapi, bagi saya Islam itu bukan hanya bertudung. Malah, yang pasti saya amat menjaga aurat lain seperti jauhkan diri daripada mengumpat, jaga pandangan mata melihat yang baik-baik dan sebagainya,” katanya.

Terdahulu, Raja Azmi ditemui ketika hadir pada sidang media drama Akasia, Luruhnya Bunga Cinta, yang diadaptasi daripada drama Korea popular, Autumn in My Heart di sebuah restoran di ibu kota, semalam.

Raja Azmi yang membawa watak ibu berstatus Datin berkata, karakter dilakonkannya wanita baik yang penyayang serta mengutamakan kebahagiaan keluarga terutama hubungan suami dan anak.

Drama Luruhnya Bunga Cinta sebanyak 20 episod terbitan Global Station Sdn Bhd disiarkan di TV3 setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7 malam bermula esok dan boleh strim di iQIYI satu jam selepas siaran.

Diarahkan oleh Muhamad Riza Baharudin, barisan pelakon membintangi drama ini ialah Redza Rosli sebagai Nuh, Tracie Sinidol (Nuha), Bella Luna (Aleen), Auni Yusrii (Aara), Aniq Durar (Anwar) dan ramai lagi.

Sumber: Harian Metro