Dua Warga Asing Dicekup Cubaan Menculik Kanak-Kanak di Pasar Raya

Dua orang warga asing berjaya ditangkap oleh pihak polis dengan bantuan orang awam selepas cubaan melarikan seorang kanak-kanak perempuan di pasar raya NSK Klang.

Video kedua-dua lelaki warga asing tersebut duduk di atas lantai menjadi tular di media sosial pada Selasa.

 

Menurut sebuah kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Polis Daerah Klang, kejadian berlaku kira-kira jam 7.30 petang Isnin.

Ketika kejadian, seorang wanita yang juga ibu kepada mangsa sedang menaiki escalator di pasar raya tersebut bersama adik perempuan serta memimpin tangan anak perempuannya yang berumur setahun tujuh bulan.

Secara tiba-tiba telah datang dua orang lelaki warganegara asing yang tidak di kenali dari arah belakang di mana salah seorang suspek telah mengangkat anak wanita tersebut dari arah belakang. Wanita tersebut terus menjerit dan menarik semula anaknya.

Bagaimanapun, kedua-dua lelaki tersebut cuba melarikan diri namun berjaya ditangkap oleh orang awam yang berada di tempat kejadian. Suspek kemudiannya diserahkan kepada pihak polis.

Kedua-dua suspek telah mendapat perintah tahanan reman selama 3 hari dari Mahkamah Klang bagi membantu siasatan.

Kes disiasat dibawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan dengan kesalahan, boleh dihukum penjara selama tujuh tahun dan boleh juga dikenakan denda.