Dituduh Curi RM 85 Punca Pelajar Maut Dipukul Di Asrama

Dituduh mecuri RM 85 menjadi punca seorang pelajar kolej vokasional di Lahad Datu maut dipukul pelajar lain di asrama pada Jumaat.

Menurut Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, hasil siasatan mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa, Mohammad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, 17, dengan sekumpulan penghuni asrama berkaitan masalah kehilangan wang yang berlaku di asrama tersebut.

“Dalam kejadian itu dua pelajar yang masing-masing kehilangan wang berjumlah RM50 dan RM35 di mana mangsa telah dituduh sebagai pencuri dan dipukul sehingga mati oleh kesemua suspek.

“Susulan daripada itu, seramai 13 pelajar lelaki berusia antara 16 hingga 19 tahun yang disyaki terbabit dalam kes ini telah ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Kesemua pelajar ditahan reman selama enam hari sehingga 29 Mac ini.

“Setakat ini, polis turut mengambil keterangan terhadap 12 saksi bebas termasuk empat warden asrama, pengawal keselamatan dan beberapa pelajar kolej terbabit.

“Pihak polis turut merampas 12 telefon pintar milik suspek.

“Selain itu, ujian saringan awal air kencing terhadap kesemua suspek didapati bebas daripada penyalahgunaan dadah,” katanya.

Pihak polis masih menunggu laporan penuh hasil bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian sebenar.

Sumber : Sinar Harian