Disaman McDonald’s Malaysia, NGO Gerak Kempen Boikot Dapatkan Khidmat Peguam

 

McDonald’s Malaysia memfailkan saman sivil terhadap Boycott Divestment Sanctions Malaysia (BDS Malaysia) bagi melindungi hak dan kepentingan syarikat makan segera itu.

“Kami telah menyatakan dengan telus dan konsisten bahawa McDonald’s Malaysia tidak menyokong dan tidak membenarkan konflik semasa di Timur Tengah dan seperti semua rakyat Malaysia, kami bersimpati dengan mangsa yang tidak bersalah di Gaza.

“Kami telah menyumbangkan sejumlah RM1 juta kepada Tabung Kemanusiaan Palestin yang dilancarkan oleh kerajaan dan akan terus berdoa agar konflik berakhir dan keamanan berterusan di Gaza,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Syarikat itu juga menegaskan bahawa mereka tidak menyalurkan sebarang jualan, keuntungan, royalti atau yuran francais daripada operasi restoran untuk menyokong sebarang sebab politik atau konflik di mana-mana bahagian dunia.

“Walaupun kami memahami dan menghormati bahawa tindakan memboikot adalah keputusan individu, kami percaya bahawa ia harus berdasarkan kebenaran,” ujarnya

Pihak BDS Malaysia mengesahkan telah menerima writ saman daripada McDonald’s Malaysia.

“BDS Malaysia merupakan badan bukan kerajaan (NGO) berdaftar di negara ini yang menyeru orang awam, pertubuhan dan kerajaan Malaysia memboikot Israel dan organisasi-organisasi yang terbabit dengan kekejaman Israel terhadap penduduk Palestin,” katanya.