“Dego Ride mula beroperasi hari ini” – Syed Saddiq

Kredit-Dego Ride Malaysia

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata perkhidmatan teksi motosikal  tempatan, Dego Ride mula dilancarkan hari ini setelah mendapat kelulusan khas daripada kabinet.

Kemudian, beliau turut berkata, perkhidmatan ini dijangka mampu menawarkan 5,000 peluang pekerjaan kepada golongan belia yang sudah memiliki motosikal serta lesen sah, khususnya kalangan berpendapatan rendah (B40) dengan pendapatan bulanan sekitar RM 1,500 hingga RM 3,500.

“Walaupun ini bukan pekerjaan jangka masa panjang, segelintir mungkin, tetapi setidak-tidaknya ia dapat dijadikan sebagai batu loncatan (untuk mencari rezeki) jika hendak dibandingkan sebelum ini kerana kita nak pastikan nasib anak muda sentiasa terbela,” katanya dipetik Bernama.

Sementara itu, turut difahamkan bahawa Dego Ride boleh diakses melalui aplikasi telefon pintar dan menawarkan perkhidmatan pengangkutan, penghantaran makan dan dokumen namun hanya perkidmatannya terhad di Lembah Klang. 

Menurut Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Dego Ride Nabil Feisal Bamadhaj, beliau berkata rekod bagi yang telah mendaftar mencecah hampir 4,000 orang tetapi hanya 700 permohonan yang akan diluluskan.

“Syarat-syarat untuk menjadi rider adalah berumur 18 tahun ke atas, mempunyai lesen penuh B2, perlindungan insurans dan sekiranya berminat boleh mengemukakan permohonan secara dalam talian,”katanya.

Bagaimanapun, Nabil berkata, hanya jenis motosikal berkapasiti 150cc yang dibenarkan kecuali motosikal yang telah di ubah suai bagi memastian keselamatan penumpang.