COVID-19 : Malaysia catat dua kematian pertama hari ini – Dr Adham Baba

KUALA LUMPUR, 17 Mac — Malaysia mencatatkan dua kes kematian pertama akibat wabak COVID-19  melibatkan rakyatnya hari ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

“Kes ke-178 merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 34 tahun yang pernah menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling tempoh hari. Beliau mula mengalami gelaja mulai 5 Mac dan mendapat rawatan di Hospital Permai, Johor Bahru pada 12 Mac setelah dikesan positif COVID-19. 

“Keadaan beliau merosot dan telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU),” katanya pada sidang media harian berkaitan wabak itu di Kementerian Kesihatan di Putrajaya.

Dr Adham berkata kes ke-358 merupakan lelaki berumur 60 tahun yang mempunyai sejarah penyakit kronik. Beliau mula mengalami gelaja demam, batuk dan kesukaran bernafas pada 7 Mac dan mendapat rawatan di Hospital Umum Sarawak pada 14 Mac setelah dikesan positif COVID-19. 

“Keadaan beliau merosot dan telah dimasukkan ke ICU. Beliau disahkan meninggal dunia pada hari ini, ” katanya. 

Mengulas mengenai kes ke-178, Dr Adham berkata pesakit merupakan ‘pure COVID-19’ iaitu tidak menghidap penyakit lain dan dimasukkan ke ICU Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru. Beliau terpaksa diberikan bantuan pernafasan menerusi mesin ventilator berikutan tahap kesihatan yang semakin merosot.

Dr Adham berkata sebanyak 120 kes baharu dilaporkan positif COVID-19 setakat 12 tengah hari ini, menjadikan jumlah kumulatif meningkat kepada 673 kes.

“Berdasarkan siasatan awal, 95 daripada 120 kes baharu itu berkaitan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling baru-baru ini, dan 428 daripada 673 kes adalah dari kluster tabligh berkenaan.

“Sehingga kini, sebanyak 12 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

-Bernama