SELEBRITI terkenal, Caprice kini semakin terkenal sebagai seorang pengulas yang sering membahas isu hangat di media sosial.
Cukup terkenal dengan tagline berbunyi “What is on the news today?”, pemilik nama Ariz Ismail itu menjadi bualan hangat netizen apabila melakukan Instagram Live berdebat dengan seorang wanita Israel.
Terbaru, pelantun lagu ‘Koyak’ itu telah dihubungi dan menemui Bekas Perdana Menteri Malaysia ke-4 dan ke-7, Tun Dr. Mahathir Mohamad bagi membincangkan berkenaan isu terbabit.
Menerusi perkongsian di Instagram, Caprice berkongsi pertemuannya bersama tokoh berusia 96 tahun itu.
Dalam masa yang sama, sudah pasti ramai yang mengetahui bahawa Tun Mahathir merupakan seorang yang sangat lantang mengecam dasar ‘apartheid’ rejim zionis Israel terhadap rakyat Palestin sejak beliau menjadi Perdana Menteri ke 4 lagi.
Difahamkan, melalui pertemuan singkat itu, Caprice sama sekali tidak menyangka diberi peluang untuk berjumpa Tun Mahathir dan telah berbincang berkenaan isu Palestin-Israel mengenai rancangannya untuk negara timur-tengah serta visi tentang golongan belia di Malaysia.
Selain itu, Caprice turut memberitahu bahawa dia berjanji dengan Tun Mahathir bahawa dia akan menyertai parlimen dan membuat perubahan dalam negara Malaysia suatu hari nanti.
Sementara itu, dalam perkongsian lain, Caprice turut memuat naik sebuah video persekitaran pejabat Tun Mahathir.
Menariknya, terdapat replika ‘Dome Of The Rock’ diletakkan di satu sudut pejabat itu dan menurutnya replika tersebut merupakan satu mercu tanda yang penting buat Tun Mahathir.
Sehubungan itu, Caprice juga meluahkan rasa sebak apabila Tun Mahathir memberitahunya bahawa masa yang tinggal untuknya berkhidmat kepada agama dan negara sudah hampir tamat.
Justeru itu, Caprice sebulat suara menyatakan keinginannya menyertai parlimen dan ingin melakukan terbaik agar dapat memimpin negara supaya menjadi lebih baik.
Turut menjadi perhatian, disebabkan Caprice dan Tun Mahathir dilihat tidak memakai ‘face mask’ dalam video yang dikongsi, Caprice memohon maaf kepada orang ramai dan jika bersalah, dia rela dikompaun.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengikutnya memberi reaksi terharu dan kagum terhadap Caprice. Mereka juga turut mendoakan agar Caprice urusannya dipermudah agar dapat menunaikan janjinya itu tertunai pada negara di masa akan datang.
Sebelum ini, Caprice berdebat dengan seorang pempengaruh terkenal, Orin Julie dari Israel yang disiarkan secara langsung menerusi Instagram Live.
Walau bagaimanapun, ramai penonton tidak berpuas hati apabila Caprice langsung tidak diberi peluang untuk bercakap dan melabel kenyataan yang dibuat oleh pempengaruh terbabit kebanyakannya tidak benar.