Undang kemarahan netizen, khidmat Tajuddin sebagai Pengerusi Prasarana ditamatkan

PERKHIDMATAN Pengerusi Prasarana Bhd, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman ditamatkan serta merta hari ini.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Aziz menerusi satu surat yang bertarikh hari ini.

“Dimaklumkan bahawa Menteri Kewangan, telah bersetuju agar perkhidmatan YB Dato’ Sri sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) ditamatkan berkuat kuasa serta merta.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih atas perkhidmatan dan sumbangan yang telah YB Dato’ Sri berikan kepada Prasarana sepanjang menjadi Pengerusi Bukan Eksekutif syarikat,” menurut surat yang dikeluarkan hari ini.

Semalam, tingkah laku Ahli Parlimen Pasir Salak itu sewaktu sidang media berhubung nahas LRT mengundang kecaman netizen apabila beliau seolah-olah tidak serius berhubung insiden tersebut malah ada menyifatkan kenyataan beliau tidak profesional ketika menjawab soalan wartawan.

Petisyen menuntut Tajuddin meletak jawatan mendapat lebih 138,000 tanda tangan setakap pukul 8 malam Rabu.


Tajudin yang mengundang kemarahan orang ramai turut menyaksikan satu petisyen telah dibuat menuntut beliau meletakkan jawatan selaku Pengerusi Prasarana Bhd.

Sebelum ini, beliau dilantik menyandang jawatan itu pada 11 Mei 2020.