Bunuh dan Tanam Mayat : Lima Lagi Suspek Ditahan

Pihak polis menahan lima lagi suspek termasuk dalang utama dalam kes bunuh dan tanam mayat di belakang rumah dekat Sungai Choh di Rawang, Sabtu lalu.

Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Noor Ariffin Mohd Nasir, penahanan itu menjadikan lapan orang suspek disyaki terlibata dalam kes itu.

Beliau memberitahu, polis menahan tiga individu termasuk dua perempuan pada serbuan pertama.

“Susulan daripada penahanan itu, polis menahan dua lagi lelaki masing-masing di Pusat Perdagangan Alam Jaya, Bandar Puncak Alam dan Sungai Choh antara pukul 6.15 petang dan 11 malam, pada hari sama,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Isnin.

Kelima-lima suspek ditahan reman selama tujuh hari bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sebelum ini seorang wanita melaporkan terdengar bunyi pergaduhan di rumah yang dipercayai mangsa dibunuh kira-kira pukul 11 pagi, Sabtu.

Kemudian wanita yang sama terdengar perbualan antara suami dan abang iparnya yang meminta bantuan untuk menanam satu mangsa kira-kira jam 5 petang.

Sumber : Awani