Lionel Messi dinobat pemain terbaik FIFA untuk kali kedua

SETELAH menjulang Piala Dunia bersama Argentina Disember lalu di Qatar, Lionel Messi kini dinobatkan sekali lagi sebagai pemain terbaik FIFA.

Dua gol yang dijaringkan penyerang berbakat berusia 35 tahun itu dalam perlawanan akhir menentang Perancis di Piala Dunia 2022 telah membantu Argentina menjadi juara di pertandingan antarabangsa tersebut.

Messi yang dianugerahkan trofi pemain terbaik FIFA 2022 di satu majlis penghargaan di Paris telah menewaskan rakan sepasukannya di Paris Saint-Germain, dan saingan akhir Piala Dunia, Kylian Mbappe, selain pemenang Ballon d’Or Karim Benzema.

Ini merupakan kali kedua Messi memenangi penghormatan tersebut, yang telah dirasmikan oleh FIFA pada tahun 2016.

Di dalam majlis yang sama, Lionel Scaloni yang merupakan jurulatih pasukan Argentina, juga telah dipilih sebagai jurulatih lelaki terbaik FIFA selepas berjaya memimpin pasukannya merangkul kejuaraan Piala Dunia 2022.

Seorang lagi pemain Argentina, Emiliano Martínez yang merupakan penjaga gol pasukan juara tersebut juga telah dipilih untuk memenangi trofi penjaga gol terbaik FIFA 2022.

Sumber gambar – Wikipedia | Sumber laporan – Harakahdaily