Buaya Ditemui Di Dalam Ladang Sawit

ANGGOTA APM menangkap buaya yang sesat di dalam ladang kelapa sawit di Tanjung Assam, Betong. - Foto ihsan APM

BETONG: Seekor buaya ditemui keletihan di dalam Ladang FELCRA Tanjung Assam, di sini, selepas dipercayai gagal keluar dari ladang kelapa sawit itu.

Reptilia sepanjang kira-kira tiga meter itu disedari berada di dalam ladang berkenaan sejak dua hari lalu.

Pekerja ladang terbabit yang bimbang keselamatan mereka bertindak menghubungi pasukan keselamatan memohon bantuan menangkap reptilia itu.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Betong berkata, pihaknya menerima panggilan daripada pekerja terbabit pada jam 9.59 pagi tadi dan sepasukan tiga anggota bergegas ke lokasi.

”Setiba di lokasi pada jam 10.31 pagi, anggota kami menemui buaya yang tersesat itu di jarak kira-kira 500 meter dari tebing sungai, katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Katanya lagi, buaya jenis jelulung itu dipercayai kelaparan selepas tersesat dalam ladang berkenaan.

 

Sumber – BH