Buat kerja tak ‘clean’, langgar ‘roadblock’ tapi tercicir nombor pendaftaran. Akhirnya kena tangkap dalam ladang kelapa sawit

TINDAKAN seorang individu lelaki tempatan melanggar sekatan jalan raya di laluan keluar tol Damansara akhirnya berjaya dikesan apabila nombor pendaftaran kenderaannya tercicir di lokasi rempuhan pada jam 12.30 malam Ahad lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, polis cuba menahan individu yang membawa kenderaan jenis Proton Saga namun suspek bertindak memecut kenderaan dan enggan berhenti dan telah merosakkan beberapa peralatan polis.

“Pihak polis telah menemui papan nombor pendaftaran kenderaan tersebut yang seterusnya membawa kepada tangkapan.

“Serbuan dibuat di kawasan ladang kelapa sawit di Klang oleh anggota IPK Selangor yang membawa kepada penahanan lelaki berusia 39 tahun yang berada dalam sebuah khemah,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Keadaan Sekatan Jalan Raya (SJR) yang dilanggar suspek.

Katanya lagi, polis turut menemui kunci kenderaan yang digunakan suspek dan telah merampas kenderaan tersebut.

Siasatan pihak polis, suspek mengakui telah terlibat dengan kejadian tersebut seperti mana yang telah dilaporkan.

Dalam pada itu, hasil semakan rekod terhadap suspek turut mempunyai empat rekod kes jenayah.

Suspek telah ditahan reman selama empat hari dan disiasat mengikut Seksyen 307 dan 427 Kanun Keseksaan serta Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.