Buat Bising, 26 Calon SPM ‘Berarak’ Tolak Motor 3.5 Kilometer

Keseronokan 28 orang pelajar sekolah yang menunjuk-nunjuk dan membuat bunyi bising ekzos motosikal membawa padah apabila mereka ditahan polis berhampiran sebuah bangunan kosong di Jalan Kemboja, Bukit Sentosa, Hulu Selangor.

Apa yang lebih mengejutkan 26 orang daripada mereka merupakan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Sebelum ini terdapat enam aduan daripada pihak sekolah dan penduduk setempat berhubung kegiatan mereka yang mengganggu ketenteraman awam.

Video mereka menolak motor ke Balai Polis Bukit Sentosa tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, kumpulan remaja terbabit didapati kerap mengambil peluang untuk berbuat demikian di kawasan tersebut.

“Mereka akan berkumpul di kawasan bangunan kosong untuk ‘rem’ motosikal masing-masing.

“Oleh itu, polis mengambil tindakan dengan menahan kesemua mereka yang berusia 17 tahun untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Enam saman turut dikeluarkan di atas kesalahan tiada nombor pendaftaran dan cermin sisi.

Mereka diarah menolak motosikal masing-masing sejauh 3.5 kilometer

Sumber : Harian Metro