Gara-Gara Lipas, Oyen Tersangkut Pada Lubang Dinding dan Ianya Bukan Kali Pertama!

 

Gara-gara mengejar lipas, seekor kucing berwarna Oren atau Oyen terpaksa menanggung kesakitan hampir dua jam selepas kepalanya tersangkut pada lubang dinding rumah.

Ianya bukan kali pertama menimpa kucing tersebut kerana pada 10 Oktober 2023, kejadian yang serupa telah berlaku pada kucing dan lubang yang sama.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.50 di sebuah kediaman di Kota Kinabalu, pemilik kucing terpaksa menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk menyelamatkan Oyen.

Pegawai Bencana Operasi APM Kota Kinabalu, Ezra Gandui Daniel berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 11.59 pagi.

“Setibanya di lokasi, pengadu memaklumkan leher kucing tersangkut pada dinding rumah dan difahamkan haiwan itu tersangkut selepas mengejar lipas sehingga ke lubang tersebut.

“Setelah menilai keadaan, pasukan kami mendapat kebenaran daripada pengadu untuk memecahkan tembok dinding rumah pengadu,” katanya kepada Sinar Harian.

Kucing tersebut berjaya diselamatkan selepas tembok rumah dipecahkan.

“Anggota juga bertindak melindungi kucing tersebut dengan selamat menggunakan selimut semasa memecahkan tembok rumah pengadu dan kucing itu berjaya diselamatkan selepas satu jam 45 minit terperangkap.

“Tiada sebarang kerosakan peralatan dan kecederaan terhadap anggota yang berlaku semasa di lokasi. Operasi kemudian ditamatkan kira-kira jam 1.30 petang,” katanya.