Pihak polis mengesahkan sebuah video tular di media sosial yang memaparkan sebuah kereta yang hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik.
Video kejadian yang berlaku kira-kira jam 10 pagi di Kilometer 37 Jalan Kimanis-Keningau pada Sabtu menjadi tular di media sosial. Kereta jenis Perodua Myvi dipandu oleh seorang remaja berusia 17 tahun bersama seorang lagi penumpang.
Bagaimanapun, kedua-dua mereka dilaporkan selamat dan hanya mengalami kecederaan ringan.
Menurut Ketua Polis Daerah Papar, Superintenden Kamaruddin Ambo Sakka, ketika kejadian kenderaan tersebut dalam perjalanan dari Keningau menuju ke Kota Kinabalu.
“Bagaimanapun, setibanya di lokasi kejadian semasa menuruni bukit, tiba-tiba brek kereta tidak berfungsi sehingga menyebabkan kenderaan tersebut hilang kawalan lalu terlanggar tebing bukit dan terbalik.
“Pemandu dan penumpang mengalami cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Papar,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-kaedah Lalulintas Jalan 1959 (LN 166/59) kerana gagal mengawal kenderaan ketika memandu sehingga menyebabkan kemalangan.
Sumber : Sinar Harian