Lima Suspek Kes Pukul Pemandu Hingga Mati Akan Didakwa Esok

Lima suspek yang ditahan dipercayai telah memukul seorang lelaki hingga maut akan didakwa di Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi pada Selasa.

Perkara tersebut disahkan oleh Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan.

Bagaimanapun, tiada perincian lanjut mengenai seksyen atau akta pertuduhan yang akan dikemukakan.

Pada 20 Februari lalu, kira-kira jam 9.20 malam kereta Proton Saga yang dipandu mangsa telah terbabas dan melanggar pagar kawasan perumahan dalam kejadian di Taman Pelangi Semenyih 2 selepas cuba melarikan diri setelah terlibat dalam satu kemalangan membabitkan seorang penghantar makanan.

Kemudian, sekumpulan lelaki dilapor menarik mangsa keluar dari kenderaan, mengikat kedua-dua tangannya, dan membelasah mangsa sebelum beredar.

Pasukan perubatan yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan mangsa yang berusia 42 tahun itu meninggal dunia.

Sumber : Awani