KUALA LUMPUR: Ketua keluarga yang keluar membeli makanan atau barangan keperluan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 4 bermula hari ini, boleh membawa seorang lagi ahli bersamanya.
Kebenaran itu diberikan kerajaan menerusi kemas kini Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, yang diwartakan semalam.
Peraturan yang diterbitkan dalam warta kerajaan mengikut kuasa perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu, berkuat kuasa mulai hari ini hingga 12 Mei depan.
Seksyen 4(1)(a)(ii) peraturan itu, membenarkan individu yang keluar membeli makanan, ubat, keperluan harian atau barangan lain disertai seorang anggota keluarga yang tinggal serumah dengannya.
Individu yang keluar ke klinik atau hospital untuk mendapatkan rawatan atau perubatan pula, dibenarkan untuk disertai mana-mana orang lain yang dianggap perlu secara munasabah, selaras Seksyen 4(1)(b)(ii) peraturan sama.
Masa sama, warta kerajaan itu mengekalkan peraturan sebelum ini, iaitu mereka yang mahu keluar membeli makanan, barangan keperluan harian, perubatan, rawatan dan lain-lain, hanya dibenarkan bergerak tidak melebihi 10 kilometer (km) dari kediaman masing-masing.
Namun, orang ramai diberi kelonggaran bergerak melebihi 10km jika keperluan itu tiada dalam lingkungan jarak berkenaan dari rumah masing-masing.
Seksyen 5 pula memperuntukkan orang ramai perlu mendapatkan kebenaran bertulis dari balai polis berhampiran kediaman masing-masing, jika mahu melakukan pergerakan jarak jauh atau bagi sebab selain keperluan harian dan perubatan.
Mana-mana pihak yang melanggar peraturan itu boleh didenda maksimum RM1,000 atau dipenjarakan sehingga enam bulan, atau kedua-duanya sekali.
Pada 21 Mac lalu, Menteri Kanan yang juga Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, memaklumkan hanya seorang wakil atau ketua keluarga dibenarkan keluar dari rumah sekiranya ada keperluan, untuk membeli barangan keperluan atau mendapatkan ubat-ubatan.
Khamis lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan PKP Fasa 3 yang berakhir semalam, dilanjutkan untuk tempoh dua minggu lagi bermula hari ini hingga 12 Mei depan.
-Berita Harian