#Berita Shah Alam, Klang Dilanda Banjir kilat

Beberapa batang jalan raya di Klang Bandar Diraja turut dinaiki air menyebabkan trafik perlahan.

Awal pagi tadi beberapa kawasan di Shah Alam dan Klang termasuk sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dekat sini dinaiki air berikutan hujan lebat sejak jam 4 pagi tadi.

Hujan lebat yang berhenti sejak pukul antara 8 dan 9 pagi ini menyebabkan beberapa laluan sekitar Jalan Batu 3 Shah Alam, Bandar Klang termasuk jalan Sentul Pandamaran dinaiki air, tetapi masih dilalui semua jenis kenderaan.

Kejadian itu turut dirakam Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago yang kemudian memuatnaik beberapa keping gambar kawasan seliaannya yang terjejas akibat banjir kilat.

“Didapati beberapa kawasan di Klang terjejas akibat banjir kilat pagi tadi. Pejabat saya telah dimaklumkan semua agensi berkaitan sedang mengiatkan usaha membantu mangsa banjir,” tulis beliau menerusi akaun Twitternya, hari ini.

Turut terjejas, SJKC Lee Min di Kampung Telok Gong, dekat sini, yang memaksa beberapa pekerja dan guru sekolah itu bertungkus lumus memindahkan peralatan sekolah ke tempat lebih tinggi dan selamat.

Dewan SJKC Lee Min di Kampung Telok Gong dinaiki air dalam kejadian banjir kilat pagi tadi.

Kesesakan trafik yang teruk turut berlaku pagi tadi apabila air mengenangi beberapa batang jalan raya melibatkan Klang Bandar Diraja, Klang Resident Business dan Meru Klang Resident Business.

Menurut Santiago, orang ramai yang terlibat dengan kejadian banjir kilat boleh menghubungi bilik gerakan dan Balai Bomba dan Penyelamat daerah itu untuk mendapatkan bantuan.

Bilik Gerakan Bencana Daerah Klang (03-3371 6700), Bilik Gerakan Pantas MPK (03-3370 1095), Balai Bomba dan Penyelamat Klang Selatan (03-3371 4444), Balai Bomba dan Penyelamat Klang Utara (03-3342 4444) dan Pejabat Parlimen Klang (016-6267 797)