Beri bayi minum arak, bapa direman lima hari

GARA-gara memberikan minuman keras terhadap bayi berusia lima bulan, seorang lelaki yang juga bapa kepada bayi berkenaan direman lima hari bermula hari ini. 

Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Khalijah Mohd Khalid di Mahkamah Majistret Balik Pulau kira kira jam 9 pagi tadi.

Terdahulu lelaki yang berusia 19 tahun itu, tiba di kompleks mahkamah berkenaan dalam keadaan digari sekitar jam 8.30 pagi. 

Pada Selasa lalu, polis telah menahan individu berkenaan selepas video tularnya menyaksikan dia memberikan minuman keras terhadap bayi tersebut. 

Perkara itu berikutan aduan yang dibuat Ketua Pergerakan Anti Arak Murah Malaysia, David Marshel selepas perbuatan lelaki berkenaan secara jelas memberikan arak yang turut tertera jenama minuman keras tersebut.

Situasi itu juga telah mengundang pelbagai reaksi kurang senang dalam kalangan masyarakat.