Bekas Pelajar Tingkatan 6 Mengaku Bunuh Kawan 4 Tahun Lalu, Dipenjara 30 Tahun

Pada tahun 2020, media melaporkan seorang remaja ditemui mati tertiarap di ruang tamu rumahnya dengan beberapa kesan tikaman serta pergelangan tangan yang hampir putus dalam sebuah kejadian di Kampung Lubok Batu, Telemong, Kuala Berang.

Mangsa ditemui oleh adiknya yang baru sahaja pulang dari sekolah pada ketika itu.

Hari ini, bekas pelajar tingkatan enam dijatuhi hukuman penjara 30 tahun di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, atas pertuduhan membunuh rakannya, empat tahun lalu.

Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani selepas tertuduh, Siti Nur Athirah Azmi, 23, mengaku salah terhadap pertuduhan berkenaan.

Tertuduh didakwa membunuh sahabatnya, Siti Nur Surya Ismail, 19, di rumah di Kampung Lubuk Batu, Jalan Bukit Tadok, Telemong , Hulu Terengganu antara jam 8.30 pagi hingga 9.30 pagi pada 1 November 2020.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun dan hukuman tidak kurang 12 sebatan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, hukuman pemenjaraan diberikan kepada tertuduh berdasarkan kepada pindaan terkini mengikut Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023.

Mahkamah mengarahkan hukuman penjara bermula daripada tarikh tangkap iaitu pada 2 November 2020.

Sumber : Harian Metro