Baru Beli Kereta Tak Sampai 8 Jam Dah Rosak, Ada Gula Dalam Enjin

Siapa sangka kegembiraan mendapat kereta baharu bertukar hampa dan kecewa selepas lapan jam apabila kereta tersebut didapati rosak pada bahagian enjinnya.

Itulah yang dialami seorang wanita, Nagakanni Subramaniam apabila kereta Perodua Bezza miliknya tidak dapat dihidupkan enjinnya pada hari yang sama dia mendapat kereta tersebut. Lebih mengecewakan Nagakanni terpaksa membawa pinjaman kenderaan sebanyak RM 537 sebulan walaupun kini kenderaan tersebut terbengkalai di pusat servis.

Berikut merupakan kronologi kejadian :

17 Oktober 2023

Nagakanni membeli Perodua Bezza 1.3 X dari Pusat Jualan Harapan Terang Motor Sdn Bhd Segamat pada jam 11 pagi. 8 jam kemudian, pada jam 7.40 malam kereta tersebut tak berjaya dihidupkan enjinnya.

18 Oktober 2023:

Kereta tersebut ditunda ke Pusat Servis Perodua Segamat. Mekanik di Pusat Servis memberitahunya bahawa enjin kereta tersebut sudah rosak.

Nagakanni meminta Perodua untuk mengganti kereta yang baharu.

Bagaimanapun, dia diminta untuk menunggu kira-kira dua minggu ke satu bulan untuk mendapatkan keputusan daripada HQ Perodua.

9 November 2023:

Nagakanni dihubungi Encik Sufian dari HQ Perodua mengatakan terdapat benda asing di dalam enjin tersebut seperti gula dan bahan itu tidak digunakan oleh Perodua.

Nagakanni juga menjelaskan yang dia tidak membawa apa-apa makanan termasuk gula sepanjang tempoh 8 jam tersebut apatah lagi mengusik bahagian enjin.

15 November 2023:

Encik Sufian mengatakan Nagakanni  perlu membuat pinjaman baharu untuk kereta baharu. Namun, Nagakanni menjelaskan dia hanya akan membuat pinjaman baharu jika pinjaman lamanya diselesaikan. Hingga kini dia masih membayar pinjaman kereta Bezza tersebut.

4 Disember 2023:

Jurujual dari Pusat Jualan Harapan Terang meminta dokumen darinya untuk membuat pinjaman kedua. Bagaimanapun, permintaan tersebut ditolak atas sebab pinjaman pertama Nagakanni masih belum selesai.

8 Disember 2023:

Pihak khidmat pelanggan memberitahu Nagakanni cadangan akhir belum dipersetujui dan pihak Perodua masih menyiasat kesilapan dalaman. Erti kata lain, masih belum ada hitam putih persetujuan untuk Nagakanni menukar kereta yang baharu.

02 Januari 2024 : 

Selepas dua bulan, Nagakanni masih belum menerima sebarang jawapan daripada pengeluar kereta.

Nagakanni memuat naik hantaran di Facebook dan meminta orang ramai untuk berkongsi hantaran tersebut agar ianya dapat diselesaikan secepat mungkin.

“Saya hanya lawan untuk mempertahankan hak saya,” tegas Nagakanni.