Rogol Gadis 13 Tahun, Remaja Lelaki Ditahan Cuba Larikan Diri Ke Kuala Lumpur

Seorang pelajar perempuan Tingkatan Satu dipercayai dirogol di kawasan sawah padi dan ditinggalkan di tepi jalan dalam satu kejadian di Kampung Bukit Abal, Pasir Puteh.

Suspek berusia 17 tahun meninggalkan mangsa berhampiran Balai Polis Banggol Judah, Machang selepas melakukan perbuatan terkutuk itu.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintenden Zaizul Rizal Zakaria berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 6.50 pagi.

“Siasatan awal mendapati, dalam kejadian tersebut, mangsa dikatakan telah keluar bersama suspek tanpa pengetahuan ibunya dengan menaiki sebuah motosikal dari Pantai Bukit Keluang, Besut, Terengganu menuju ke Pasir Puteh.

“Suspek kemudian telah membawa mangsa bersiar-siar di sekitar kawasan Besut dan Pasir Puteh sempena menyambut tahun baharu,” katanya dalam satu kenyataan seperti dilaporkan Harian Metro.

Menurutnya lagi, suspek kemudian membawa mangsa ke kawasan sawah padi tersebut dan bertindak merogol mangsa.

Suspek berjaya ditahan di dalam sebuah bas di Bentong, Pahang dipercayai cuba melarikan diri ke Kuala Lumpur.

“Remaja lelaki terbabit akan direman bagi membantu siasatan bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sumber : Harian Metro