Azam Baki Tekad Mahu SPRM Jadi Yang Terbaik Di Dunia

TAN Sri Azam Baki yang dilantik semula sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk setahun lagi bertekad untuk terus menjadikan agensi itu sebagai sebuah badan penguat kuasa yang terunggul di dunia.

Pada masa yang sama, katanya, beliau mahu meneruskan usahanya untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang bebas rasuah selaras dengan visi suruhanjaya itu.

“Saya akan meneruskan usaha saya dalam mencegah rasuah secara maksimum dan berkesan di negara ini bagi mencapai visi SPRM yang kita impikan iaitu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang bebas rasuah dan SPRM sebagai pasukan penguat kuasa yang terunggul di dunia,” katanya kepada Astro Awani pada Rabu.

Azam turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepercayaan yang diberikan.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali menerusi satu kenyataan pada Rabu memaklumkan Azam dilantik semula sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM berkuat kuasa Jumaat ini.

Menurutnya, pelantikan itu adalah selaras dengan Fasal (1) Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong memperkenankan pelantikan semula Azam sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Azam mula memegang jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 9 Mei 2020.

Beliau menggantikan Latheefa Beebi Koya yang mengambil keputusan memendekkan kontrak perkhidmatannya selaras dengan Subseksyen 5(3) Akta SPRM 2009.

Sumber gambar & laporan – Sinar Harian