Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan membidas kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang sering memberi harapan palsu dan mahu melaksanakannya seperti ‘bertelur sebiji riuh sekampung’ sahaja.
Beliau turut berkata, keadaan ekonomi sekarang sudah tidak aman seperti kerajaan yang sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU -14) hingga menyebabkan isu terkini melibatkan ramai rakyat kehilangan pekerjaan mereka;
“Apa yang lebih sedih dan membimbangkan, terdapat kecenderungan kehilangan kerja ini membabitkan kepentingan bahasa kebangsaan. Pada Oktober lalu Utusan Melayu (M) Berhad terpaksa ditutup dan mengakibatkan hampir 1,000 orang hilang pekerjaan.
“Bulan lalu juga Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) mengumumkan beratus orang pekerjanya akan ditamatkan perkhidmatan dalam masa sebulan dua ini. Seminggu ini terdapat ura-ura bahawa beribu pekerja Media Prima di TV3, NTV7, 8TV, TV9, New Straits Times, Berita Harian dan Harian Metro bakal diberhentikan.
“Saya khuatir, tidak lama lagi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) juga akan berhadapan dengan tindakan rasionalisasi sumber, yang hampir sama,” katanya dipetik Umno Online.
Beliau turut mengulas bahawa, PH menjanjikan kepada rakyat yang sejuta pekerjaan baharu akan muncul namun apa yang berlaku sejak akhir ini semakin ramai yang hilang pekerjaan menjumlahkan puluh ribu orang hilang tempat mencari sumber rezeki mereka.
“Apa sebenarnya yang berlaku kepada negara kita ini?
“Adakah semua pemberhentian membabitkan industri yang mengembang dan menyuburkan bahasa kebangsaan ini, kerana faktor ekonomi semata-mata atau juga kerana sikap tidak peduli kerajaan?
“Kepada yang berhadapan musibah kehilangan kerja ini, bertabahlah. Insya-Allah ada rezeki di jalan lain,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau turut berkata lagi bahawa, rakyat terutama orang Melayu boleh menilai sendiri sikap dan tindak-tanduk parti pemerintah hari ini.
“Dulu mereka punya seribu jawapan membela nasib pekerja, hari ini mereka buat-buat tidak nampak ‘gajah di depan mata’.
“Kerajaan punya banyak kuasa dan pengaruh, mengurangkan beban rakyat termasuk membantu industri berkaitan ilmu dan bahasa kebangsaan.
“Namun kuasa sentiasa menguji dan mengalpakan manusia,” tegasnya lagi.