543 Pekerja NSTP Akan Diberhentikan

Berita menggemparkan pekerja seramai 543 dalam syarikat The New Straits Times Press Malaysia (NSTP) terima surat berhenti kerja yang menyatakan tempoh akhir perkhidmatan berakhir pada 12 Mac tahun hadapan.

Kemudian, bukan pekerja sahaja malah melibatkan wartawan dan jurugambar akhbar Berita Harian, Harian Metro dan New Straits Times (NST) turut menerima surat berhenti hari ini.

Menurut Pengerusi Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) NSTP, Farah Marshita Abdul Patah berkata, jumlah tersebut juga membabitkan ahli NUJ iaitu 193 orang sekali lantas menjadikan hanya 143 ahli yang kekal daripada keseluruhannya seramai 336 orang.

“Sejujurnya, angka itu bukanlah satu jumlah yang kecil memandangkan ramai di antara kami yang terpaksa berkorban dalam memastikan kelangsungan syarikat.

“NUJ NSTP sangat bersimpati dengan apa yang berlaku dan kami sudah sedaya upaya memperjuangkan semua nasib ahli yang terjejas namun kami akhirnya perlu akur dan menerima keputusan syarikat meskipun ia pahit untuk ditelan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Farah Marshita berkata, paling penting adalah proses pemberhentian berkenaan akan berjalan lancar dan pampasan yang dijanjikan dibayar mengikut lunas undang-undang di samping nasib mereka terus terbela.

Tambahnya lagi, NUJ NSTP juga juga berharap bahawa isu berhentikan pekerja ini merupakan yang terakhir dilakukan syarikat serta tiada lagi pekerja yang terpaksa dikorbankan. 

“Malah NUJ NSTP juga meletakkan sepenuh kepercayaan kepada syarikat dan pihak pengurusan untuk mengembalikan NSTP ke zaman kegemilangannya,” katanya.

Bagaimanapun, Menurut laporan Sinar Harian berkata, Farah berkata , situasi itu mungkin adalah sesuatu berat untuk ditanggung semua yang terbabit dan juga mereka yang masih kekal, tapi mungkin keputusan itu jugalah yang terbaik buat semua.

“Buat ahli yang akan pergi, NUJ NSTP mendoakan semoga mereka dilimpahkan rezeki dan diberikan kehidupan yang lebih baik di luar sana. Bagi kakitangan yang akan kekal, teruskan berkhidmat bersama syarikat, pesan kami adalah tingkatkan semangat untuk terus maju ke hadapan.

“NUJ NSTP percaya setiap apa yang berlaku ada hikmah di sebaliknya. Sekali lagi, kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada ahli yang terbabit dalam pemberhentian ini atas kerjasama diberikan selama ini.

“Walaupun apa yang berlaku, ingatlah, anda selamanya akan menjadi sebahagian daripada keluarga NUJ NSTP,” katanya.

Difahamkan, keputusan itu akan menyebabkan operasi NSTP di setiap biro di seluruh negara terpaksa dikecilkan kepada wilayah pantai timur yang merangkumi Pahang, Kelantan dan Terengganu, utara (Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Perlis) dan selatan (Johor, Negeri Sembilan dan Melaka).

Lantas, Biro Putrajaya dan Shah Alam juga digabung manakala Sabah serta Sarawak masing-masing kekal satu cawangan dengan dua wartawan akan ditempatkan di setiap biro.