Anjur parti liar melalui WeChat, 18 individu ditahan

POLIS menahan seramai 18 individi selepas terlibat dengan penganjuran parti liar di sebuah kondominium di Kepong awal pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, ketika serbuan, muzik dimainkan dengan begitu kuat serta sibuk menikmati minuman keras.

“Kesemua yang ditahan terdiri daripada 11 lelaki, tiga perempuan warga tempatan serta empat lagi perempuan warga asing.

“Mereka yang ditahan berusia lingkungan 19 hingga 42 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Serbuan turut berjaya merampas sepaket plastik berisi serbuk disyaki dadah jenis MDMA dengan berat 27.50 gram.

Hasil siasatan mendapati salah seorang suspek berusia 27 tahun merupakan penganjur kepada parti liar berkenaan.

Suspek dikatakan menawarkan promosi RM150 bagi setiap bilik untuk tempoh 3 jam menerusi aplikasi Wechat.

Polis percaya kegiatan itu bergiat aktif sejak awal Ogos lalu.

Saringan ujian air kencing turut mendapati 12 individu positif dadah pelbagai jenis.

Kesemua mereka akan dimohon reman bermula hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39A Akta Dadah Berbahaya 1952.

Selain itu, polis turut mengeluarkan kompaun terhadap kesemua yang terlibat dengan parti liar ekoran tidak mematuhi SOP PKP.