Tunjuk perangai buruk, Sultan Johor beri amaran bubar DUN

SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar tidak teragak-agar untuk membubarkan kerajaan Johor sekiranya berlaku tingkah laku buruk dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Baginda bertitah, situasi ketika ini adalah lebih penting untuk membincangkan perihal kepentingan rakyat serta negeri berkenaan.

“Jangan cemarkan Dewan saya ini dengan perangai yang buruk. Ini adalah dewan yang mulia bukannya dewan sangkar beruk.

“Ingat pesanan saya Tuan Speaker.

“Jalankan kerja baik-baik dan suka juga saya ingatkan, yang saya tidak akan melayan permainan politik mana-mana wakil rakyat yang terus bertelagah sampai menganggu-gugat negeri dan kerajaan saya,” titah baginda.

Dalam perkembangan sama, Sultan Ibrahim turut menegaskan agar kesemua ADUN untuk tidak mementingkan diri sendiri sebaliknya menumpukan ke arah pembangunan ekonomi Johor serta rakyat di negeri itu.

“Ahli-Ahli Dewan tidak perlu berbahas atau membawa usul yang tidak berkenaan. Awak semua jangan pentingkan diri sendiri.

“Rakyat di luar sana tengah susah, ada yang kelaparan, ada yang hilang pekerjaan dan ada juga yang sedang bertarung nyawa akibat wabak COVID-19.

“Ini bukannya masa untuk berbalah, tetapi ini adalah masa untuk bersatu dan bekerjasama. Jangan tanya kepada orang lain apa yang telah dibuat untuk bantu rakyat, tetapi lihatlah cermin muka sendiri,” tambah baginda lagi.

Baginda bertitah sewaktu berkenan merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Ke Empat Dewan Negeri Johor Yang Ke-14 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar hari ini.