ANGKATAN PERTAHANAN AWAM MALAYSIA (APM) Majlis Pemakaian Pangkat dan Penyampaian Watikah Pegawai Bersekutu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

KAJANG – 5 Disember 2019. Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) hari ini telah mengadakan Majlis Pemakaian Pangkat dan Penyampaian Watikah Pegawai Bersekutu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia di Ibu Pejabat Pertahanan Awam Sungai Merab.


Pelantikan Pegawai Bersekutu APM tersebut adalah kepada Dato’ Lokman Hakim
Pfordten bin Abdul Rahim, CEO GISB Holdings serta kenaikan pangkat Dato’ Sri Idris bin Md Yusof atau lebih dikenali dengan Eizlan Yusof, Dato’ Mohd Banuri bin Aris, Dato’ Fizal bin Kamaruddin@Fauzi dan Ahmad Idham bin Ahmad Nadzri dengan ke semua mereka ditauliahkan pangkat Kolonel Bersekutu (PA).

Pelantikan dan kenaikan pangkat ini adalah di atas sumbangan dan sokongan mereka dalam memperkembangkan lagi peranan APM dalam membantu masyarakat. YAS Datuk Roslan bin Wahab, Ketua Pesuruhjaya Pertahanan Awam yang menyempurnakan majlis pada hari ini amat berbangga dengan penglibatan artis dan pengamal media dalam APM sekaligus memberikan contoh dan dorongan kepada semua peringkat lapisan masyarakat untuk menyertai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Umum mengetahui bahawa Dato’ Sri Eizlan Yusof telah lama bergiat aktif Bersama APM dan istimewanya beliau yang bakal melangsungkan perkahwinan pada 13 Disember nanti akan tampil dengan persalinan Pakaian Seragam Istiadat APM dan berarak masuk dengan acara Silang Pedang bersama para Pegawai Bersekutu APM diiringi dengan tiupan Bagpipe dan persembahan Pancaragam APM.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia berharap dengan penglibatan dan sokongan dari semua pihak termasuk Pegawai Bersekutu APM dapat diperluaskan lagi untuk
memperlihatkan keberadaan APM di segenap masyarakat sekaligus meningkatkan
kepercayaan terhadap mutu perkhidmatan APM.