Anggota Polis Dapat Pujian Netizen, Bersihkan Anak Tahanan

Seorang anggota polis Lans Koperal Siti Sarah Ariffin, 35, mendapat pujian netizen selepas gambarnya sedang membersihkan anak kepada seorang tahanan menjadi tular di Facebook.

Lans Koperal Siti Sarah Ariffin yang bertugas di Balai Polis Bentong membersihkan kanak-kanak tersebut selepas seorang lelaki membawanya ke balai terbabit. Ibu kepada kanak-kanak itu ditahan kerana terlibat dengan jenayah komersial Penjara Bentong.

“Saya kesian bila lihat keadaannya tidak terurus,” luahnya.

“Saya sedang bertugas ketika itu dan lelaki terbabit memberitahu dia kenalan ibu kanak-kanak tersebut yang diserahkan kepadanya dan datang ke balai kerana ingin menyerahkan kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)

“Keadaan kanak-kanak ketika itu sangat tidak terurus dan dipercayai mengalami masalah autisme selain tidak boleh bertutur,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Lans Koperal Siti Sarah Ariffin segera membersihkan serta memandikan kanak-kanak terbabit selepas beberapa helai pakaian baharu dan lampin pakai buang yang dibeli Koperal Ahmad Fathi Abdillah.

Jelasnya, dia lega apabila kanak-kanak tersebut dibawa pulang lelaki terbabit dan akan diambil oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Rasa risau sangat dan hanya lega bila dimaklumkan kanak-kanak itu sudah diserahkan kepada JKM,” ujarnya.

Sumber : Facebook, Sinar Harian