Alza dipandu bapa hilang kawalan, bayi enam bulan maut tercampak keluar dari kereta

Gambar Hiasan

SEORANG bayi perempuan berusia enam bulan maut selepas tercampak keluar dari kereta dalam nahas di kilometer 161.1 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan di Tangkak, Johor, Isnin malam

Manakala enam yang lain cedera ringan dalam kemalangan menyayat hati itu, lapor Astro AWANI.

Ketua Polis Daerah Tangkak Supt Mohd Fadhil Minhat berkata kemalangan yang berlaku pukul 8.30 malam itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di kepala dan maut di tempat kejadian.

Memetik laporan Astro AWANI lagi, kenderaan Perodua Alza yang dipandu bapa mangsa berusia 28 tahun, isterinya, 28, bersama lima yang lain dipercayai datang dari arah Pekan Tangkak menuju Bukit Gambir.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta yang dinaiki kesemua mangsa dari arah Pekan Tangkak menghala ke Bukit Gambir itu hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan sebelum terbalik ke kawasan berumput.

“Bayi itu telah terpelanting keluar dan disahkan meninggal dunia manakala pemandu dan penumpang yang lain mengalami kecederaan ringan,” katanya menerusi kenyataan.

Bayi tersebut dibawa ke Hospital Tangkak untuk bedah siasat manakala enam individu itu pula turut menerima rawatan di hospital sama.

Mohd Fadhil berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber: Astro AWANI