Kerap suntik minyak untuk besarkan otot, lelaki ini maut selepas abaikan nasihat doktor

the news Malaysia

SEORANG lelaki Brazil yang sebelum ini pernah beberapa kali tular akibat menyuntik minyak ke dalam ototnya untuk kelihatan sasa seperti Hulk maut pada usia 55 tahun.

Dia yang dikenali sebagai Valdir Segato dikatakan maut akibat serangan jantung baru-baru ini.

Segato dikatakan kerap mengamalkan teknik aneh itu sejak berusia 49 tahun.

Tindakannya itu dilakukan kerana mahu cuba meniru fizikal idolanya iaitu selebriti aksi terkenal, Arnold Schwarzenegger dan watak adiwira The Hulk.

Sebelum ini, pihak doktor pernah menasihatinya untuk berhenti daripada menyuntik minyak ke anggota badannya kerana berisiko menghidapi pelbagai komplikasi penyakit dan kerosakan saraf.

Dia juga telah diberi amaran anggota badannya bakal ‘mati’ dan perlu dipotong.

Namun Segato tidak mengendahkan nasihat pakar dan tetap meneruskan teknik itu.

Dia pernah mendedahkan bahawa betapa bangganya dirasakan apabila dikenali sebagai ‘raksasa’ oleh penduduk tempatan yang mengenalinya.

Malah Segato kerap berkongsi foto dan video ototnya di laman media sosial.

Menerusi satu temu bual sebelum ini, Segato yang juga seorang pekerja buruh binaan pernah menunjukkan bagaimana dirinya menyuntik minyak sintetik berkenaan yang bercampur dengan alkohol, ubat penahan sakit dan minyak.