Ajaran sesat ‘Mimpi Lelaki Pakistan’, dakwa bertemu Allah dan Rasul 300 kali

PENULARAN ajaran sesat di negara ini masih kelihatan berleluasa apabila muncul pula ajaran yang terbaru dikenali sebagai ‘Mimpi Lelaki Pakistan’ yang turut mendapat ikutan beberapa individu.

Sebelum ini, tular mengenai ajaran sesat yang terkenal dengan nama ‘Perjalanan Mimpi Yang Terakhir’ yang seakan sama mengenai ajarannya.

Mengenai ajaran yang terbaru itu, difahamkan ia mempunyai kaitan dengan mimpi seorang lelaki Pakistan berhubung akhir zaman.

Platform secara atas talian merupakan modus operandi ajaran tersebut bagi menyukarkan ia dihidu pihak berkuasa yang menggunakan beberapa laman sesawang sebagai sumber rujukan.

Bukan setakat itu, malah ajaran terbabit turut mempunyai ’WhatsApp Group’ yang kini dikatakan mempunyai lebih 230 pengikut.

Bagaimanapun, kumpulan yang terlibat dengan ajaran tersebut terdiri daripada individu yang berasal dari Indonesia dikenali sebagai Gerakan Akhir Zaman (GAZA).

Mereka ini bergerak berpandukan mimpi seorang lelaki Pakistan bernama Muhammad Qasim Abdul Karim.

Bahkan individu itu juga mendakwa pernah bertemu dengan Allah dan Rasulullah sebanyak 300 kali selain turut menerima amanah agar dikongsikan kepada umum.

Selain itu, pihaknya turut mendakwa turut bermimpi berjumpa dengan Dajjal selain mampu melihat Yakjuj Makjuj.