Lelaki ini jana lebih RM900 sehari hanya dengan beratur untuk orang kaya

Health photo created by freepik - www.freepik.com

UNTUNG atas angin! Mungkin itu situasi yang boleh digambarkan apabila seorang lelaki di Britain menjana pendapatan lumayan sebagai pakar beratur buat golongan kaya.

Kebanyakan pelanggan lelaki itu datang daripada golongan yang enggan menunggu dalam barisan apabila mahu membeli-belah barangan berjenama, lapor Kosmo.

Freddie Beckitt, 31, berkata, dia melakukan pekerjaan itu bagi mengisi masa lapang dan menambah wang poket dengan mengenakan caj AS$27 (RM113) sejam.

Dia juga meraih pendapatan sehingga AS$215(RM903.50) sehari.

Dia yang juga merupakan penduduk asal kota London menganggap tugasan beratur sebagai satu seni dan tidak mempunyai masalah untuk menunggu berjam-jam sekiranya ada yang sanggup membayar perkhidmatannya.

“Sejujurnya saya berharap saya mempunyai lebih banyak masa untuk melakukan pekerjaan ini agar ia boleh menjadi kerjaya tetap.

“Semasa beratur, saya menggunakan masa yang ada untuk memperbaiki penulisan saya sebagai penulis sejarah fiksyen,” katanya.

Jelas Beckitt lagi, dia mula terjebak sebagai tukang  beratur apabila mencari pekerjaan sambilan dan ada yang menawarkan tugas beratur di laman mencari pekerjaan.

“Apabila saya melihat pekerjaan ini, saya rasa ia adalah tugasan paling senang di dunia,” katanya.

Sumber: Kosmo