47,000 Wanita Berjaya Raih Peluang Pekerjaan Melalui Program Wanita Bangkit@KPWKM

berita-semasa

KARNIVAL Kerjaya Dan Keusahawanan Wanita Bangkit anjuran Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah diadakan pada 27 Ogos 2022  di Dewan Serbaguna Bandar Baru Salak Tinggi. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Untuk maklumkan semua, karnival ini dianjurkan adalah untuk memberi fokus kepada aktiviti penjanaan pendapatan kaum wanita dengan menghubungkan mereka kepada platform yang menawarkan peluang pekerjaan, perniagaan atau keusahawanan.

Melalui  platform ini,  wanita dapat memperkasa ekonomi diri, dan keluarga menerusi peluang-peluang kerjaya, perkongsian ilmu pengetahuan, pengurusan kewangan, kemahiran, dan kepimpinan kendiri bagi meningkatkan kapasiti dan keupayaan.

Inisiatif Wanita Bangkit@KPWKM lahir daripada situasi pandemik COVID-19 yang telah memberi kesan kepada kehidupan masyarakat termasuk golongan wanita dalam pelbagai aspek terutamanya dalam aspek kewangan dan penjanaan pendapatan.

Menteri KPWKM sedang berucap pada majlis tersebut

Menurut Menteri KPWKM, realiti hari ini menunjukkan bahawa kegagalan menguruskan ekonomi menjadi salah satu faktor kegagalan dan keruntuhan institusi rumah tangga. Ia juga menyumbang kepada pelbagai masalah seperti pengabaian tanggungjawab berkaitan nafkah, pendidikan anak-anak, hutang yang tinggi dan sebagainya. Isu ekonomi keluarga sebagai satu perkara yang perlu diselesaikan, atau sekurang-kurangnya ditambah baik.

Antara para hadirin yang hadir pada karnival tersebut

Justeru itu menerusi inisiatif Program Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Wanita Bangkit @KPWKM ini dianjurkan di beberapa negeri seluruh Malaysia bagi memberi peluang wanita yang juga merupakan tonggak keluarga berdikari dari segi pendapatan dan turut menyumbang kepada ekonomi keluarga.

Inisiatif Wanita Bangkit@KPWKM diunjurkan dapat membantu wanita dalam mengatasi cabaran pasca pandemik. Inisiatif ini terbahagi kepada dua kaedah; iaitu menerusi sektor formal dan tidak formal. Melalui sektor formal pelbagai pameran kerjaya dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), TalentCorp Malaysia dan organisasi penempatan pekerjaan lain.

Menerusi Sektor Tidak Formal pula, peserta-peserta dihubungkan kepada pelbagai peluang perniagaan dan keusahawanan daripada Kerajaan seperti Mamacare, program selepas bersalin oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara Malaysia, sektor swasta seperti Maxis (penyedia telekomunikasi) untuk penganjuran e-Kelas Usahawan dan NGO.  Selain itu bantuan geran MyKasih Kapital sebanyak RM500 juga disediakan untuk memulakan perniagaan dengan modal kecil dalam bidang e-dagang dan perniagaan kecil-kecilan yang bukan di bawah skim di Kementerian Keusahawan.

Wanita Bangkit@KPWKM telah berjaya menghubungkan dan memberi peluang pekerjaan kepada 11,055 wanita dalam kedua-dua sektor formal dan informal dan menyediakan 47,000 wanita dengan pengetahuan berterusan khususnya dalam pengurusan kewangan.

Jika, sebelum ini program ini telah berlangsung sempena Sambutan Hari Wanita di KLCC, seterusnya di di Alor Setar Kedah bagi Zon Utara, bulan lepas, kini ianya dilansungkan bagi zon tengah. Bagi program seterusnya, ia akan menjelajah di lokasi-lokasi lain mengikut zon iaitu bagi Zon Sabah di Suria Sabah Shopping Mall pada 23 hingga 25 September 2022 dan Pusat Dagangan Terengganu bagi Zon Pantai Timur pada 6 hingga 8 Oktober 2022.

Semoga para wanita diluar sana tidak melepaskan peluang untuk turut serta dalam karnival ini pada tarikh-tarikh yang akan datang.

Ini kerana, berdasarkan dari pengalaman yang lepas, lebih 15 ribu peluang kerjaya dan usahawan ditawarkan kali ini disamping pelbagai peluang seperti mendapatkan tips dan nasihat dari mereka yang telah berjaya menjadi usahawan.

Antara booth yang turut serta dalam karnival ini

Pada karnival tersebut, lebih 30 majikan daripada pelbagai sektor turut dibawa ke karnival dengan kerjasama pihak PERKESO. Lebih kurang 1,000 jawatan kekosongan peringkat eksekutif dan sebanyak 14,000 jawatan kekosongan bukan eksekutif ditawarkan. 

Diharapkan melalui Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Wanita Bangkit @KPWKM ini, golongan wanita dapat meningkatkan pendapatan bulanan isi rumah, sekali gus dapat menaikkan tahap sosio-ekonomi masyarakat.

Sesi perkongsian peserta

Ini kerana program latihan seperti ini penting untuk menjadikan wanita, agen perubahan dalam komuniti, melalui usaha perubahan sikap. Perubahan sikap dan cara berfikir dalam memperkasakan identiti wanita, boleh dilakukan melalui usaha meningkatkan ilmu   pengetahuan dan kemahiran atau skil.

Menteri KPWKM juga berharap program ini dapat meningkatkan semangat golongan wanita untuk mengikutinya dan peserta yang telah berjaya mampu untuk membimbing wanita yang lain juga.