4 Lelaki Warga Asing Ditahan Kerana Cabul, Peras Ugut Seorang Wanita

Foto : regional kompas

Batu Pahat – Empat lelaki warga asing ditahan selepas disyaki mencabul serta memeras ugut seorang wanita dalam kejadian di Panchor, di sini, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, berkata keempat-empat suspek yang juga pekerja kilang ditahan pada jam 4 pagi hari kejadian.

Beliau berkata, mangsa berusia lingkungan 20-an membuat laporan polis mendakwa dia bukan sahaja dicabul malah, wanita warga itu turut diperas ugut oleh suspek yang tinggal di rumah pekerja terbabit pada jam 1.03 pagi.

“Bertindak atas laporan dibuat, polis menahan keempat-empat suspek berusia antara 23 hingga 43 tahun selain merampas telefon bimbit milik mangsa.

“Hasil soal siasat, suspek mengakui melakukan perbuatan itu terhadap mangsa selain merampas telefon bimbit wanita terbabit,” katanya ketika dihubungi.

Katanya lagi, suspek kemudian ditahan dan direman bermula semalam sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 354 dan 384 Kanun Keseksaan.

“Suspek boleh dikenakan denda atau penjara sehingga 10 tahun atau sebatan atau mana-mana salah satu daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi mendapatkan arahan selanjutnya,” katanya.

Sumber : Harian Metro