Indonesia Catat Rekod Persembahan Terbesar Angklung Di Dunia

Foto : AFP

JAKARTA – Indonesia mencatatkan Rekod Dunia Guinness bagi persembahan muzik angklung yang terbesar yang membabitkan 15,110 peserta di Stadium Utama Gelora Bung Karno (GBK), Jakarta, Sabtu lalu, lapor Agensi Berita ANTARA.

Persiapan untuk persembahan itu dibuat sejak Oktober 2022 dengan sokongan Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Penyelidikan dan Teknologi.

“Angklung merupakan warisan budaya Indonesia yang diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sejak 2010. Ia mengajar nilai baik dalam pendidikan karakter, yang harus dijaga serta diwariskan kepada generasi berikutnya,” kata Pengarah Filem, Muzik dan Media kementerian itu, Ahmad Mahendra, di sini, semalam.

Mahendra berkata, pihaknya membantu menyediakan 20,060 unit angklung dan mengagihkannya kepada 381 kumpulan yang setiap satu daripadanya dibarisi 40 peserta.

Foto : AFP

Kementerian itu bekerjasama dengan pusat seni, Saung Angklung Udjo (SAU), untuk persembahan itu, yang mana kedua-duanya merancang konsep muzik dan memberi latihan angklung kepada semua peserta.

“Selain dilatih secara langsung oleh pasukan SAU, kami membabitkan 182 penyelia untuk mengikuti latihan bebas setiap kumpulan,” katanya.

Peserta persembahan terbesar angklung di dunia itu terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk Organisasi Aksi Solidariti untuk Era Kabinet Indonesia yang Maju (OASE KIM), sekolah menengah dan lain-lain.

Presiden Indonesia, Joko Widodo, dan Timbalan Presiden, Ma’ruf Amin, turut hadir menyaksikan acara berkenaan. – BERNAMA