36 Pengunjung Cemas, Kabin Kaca Menara Taming Sari Tersangkut Pada Ketinggian 60 Meter

LEBIH 36 pengunjung berdepan detik cemas apabila kabin kaca Menara Taming Sari, di Banda Hilir, di sini, tersangkut pada ketinggian 60 meter, hari ini.

Difahamkan, kejadian berlaku jam 5.55 petang dan mangsa dikatakan terperangkap lebih 20 minit sebelum diselamatkan.

Ketua Pegawai Eksekutif Menara Taming Sari (MTS) Azlan Abidin berkata, kejadian berlaku ketika kabin itu berada di ketinggian kira-kira 60 meter dan dalam perjalanan turun.

“Terdapat seramai 36 pelanggan termasuk lapan kanak-kanak dan masing-masing seorang warga emas serta orang kurang upaya (OKU) berada di dalam kabin ketika kejadian.

“Kami mengambil langkah awal dengan membawa turun kesemua mangsa yang mengambil masa kira-kira 30 minit.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan pelanggan berada dalam keadaan selamat,” katanya.

Menurutnya, kerja penyelenggaraan dan pemeriksaan lanjut sedang dijalankan oleh pasukan teknikal bagi mengenal pasti punca utama pemasalahan berlaku.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah, Abd Rahim Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.58 petang.

“Ketika pasukan bomba tiba, kabin sedang dalam perjalanan turun dan difahamkan pihak MTS menggunakan motor sokongan untuk berbuat demikian.

“Memandangkan kabin dapat beroperasi dan turun, pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) yang turut berada di lokasi bersedia memantau jika terdapat mangsa yang mengalami sesak nafas atau memerlukan bantuan,” katanya.

Menurutnya, operasi ditamatkan selepas semua pelanggan MTS berada dalam keadaan selamat dan tiada sebarang kemalangan jiwa.

Sumber gambar – Tripcarte Asia| Sumber laporan – Harian Metro