311 Pegawai, Anggota Polis di Selangor Disiasat Tahun Lalu

Sebanyak 311 pegawai dan anggota polis terlibat dengan kes tatatertib serta jenayah pada tahun lalu.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata daripada jumlah itu, 33 anggota telah dituduh di mahkamah, 14 digantung kerja dan 21 anggota dibuang kerja dengan kesalahan antaranya terlibat dengan kes jenayah, dadah, dan pelanggaran tatatertib selain kes melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

“Walaupun angka ini kecil berbanding kekuatan polis Selangor iaitu 15,000 anggota tetapi kita melihat setiap kes itu sesuatu yang serius daripada segi pelanggaran tatatertib dan undang-undang, tindakan tegas maksimum akan diambil,” katanya pada sidang media khas di Batu Caves, hari ini menurut laporan Astro Awani.

Menurut Hussein, pegawai penyelia juga turut dikenakan tindakan jika mereka gagal menyelia anggota masing-masing mengikut Peraturan 3C Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Beliau berkata, seramai 167 anggota Unit Kereta Peronda Polis (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang sudah berkhidmat selama lima tahun akan dimobilisasi ke unit lain dan akan diganti oleh anggota unit lain.

Ia sebagai Langkah untuk memudahkan pihaknya untuk mengenal pasti anggota bermasalah.

“Mobilisasi ini kita memberi peluang kepada anggota lain untuk bertugas dalam MPV…ini salah daripada cara supaya mereka tidak jemu melakukan tugas dalam tempoh lama dan ini memberikan persekitaran baharu,” katanya.

Setakat bulan ini, seorang pegawai dan 10 anggota telah dituduh di mahkamah kerana melakukan kesalahan jenayah.

Sumber : Astro Awani