3 Lelaki Sesat Ceroboh Hutan Simpan Gunung Pulai

Tiga orang pendaki yang dipercayai menceroboh Hutan Simpan Gunung Pulai di Kulai sesat selama sembilan jam sebelum ditemukan selamat tengah malam tadi.

Mereka dipercayai menceroboh Hutan Simpan Gunung Pulai melalui Taman Awam Bandar Baru Kangkar Pulai pada 9 pagi dan meneruskan pendakian ke Sungai Emas (Hutan Simpan Gunung Pulai) untuk menuju ke Tasik Biru Kangkar Pulai, namun gagal menemukan jalan keluar.

Dalam satu kenyataan, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Johor (JPNJ) Datuk Salim Aman berkata mereka yang berusia 20-an hingga 30-an itu melancarkan  Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) diaktifkan pada 4 petang melibatkan JPNJ, Balai Polis Kangkar Pulai, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kangkar Pulai serta Malim Gunung Perhutanan (MGP).

“Aduan diterima oleh Balai Polis Kangkar Pulai pada 4 petang, selepas mangsa membuat laporan sendiri menerusi panggilan telefon dan memaklumkan bahawa mereka tersesat serta tidak menjumpai jalan pulang.

“Difahamkan juga, mangsa kali pertama memasuki kawasan tersebut dan hanya mendapat maklumat daripada pendaki lain,” katanya.

Datuk Salim berkata ketiga-tiga lelaki itu didapati tidak mempunyai permit untuk memasuki hutan simpan itu. Selain itu, kawalan jurupandu atau MGP juga tidak bersama mereka.

Tindakan akan diambil mengikut Seksyen 47 Enakmen Perhutanan Negara (Pemakaian) 1995 Negeri Johor, katanya.

Sumber : Awani