13 Termasuk Remaja Ditahan Inkar PKP

KUALA LUMPUR: 13 lelaki ditahan pihak berkuasa masing-masing di Georgetown, Pulau Pinang dan Kota Tinggi, Johor kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) petang tadi.

Di Georgetown, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, tujuh lelaki berusia 23 hingga 56 tahun ditahan pihak berkuasa semasa menjalankan Ops COVID-19 di Pulau Tikus, dekat sini, jam 6 petang tadi.

Beliau berkata, ketika anggota polis melalui kawasan padang di Jalan DS Ramanathan, dekat sini, didapati enam daripadanya disyaki sedang bermain bola sepak manakala seorang lagi sedang berjoging.

“Semuanya dibawa ke balai polis berhampiran bagi tindakan lanjut dan mereka tidak memiliki barangan yang menyalahi undang-undang ketika pemeriksaan dijalankan pada tubuh.

“Mereka ditahan kerana melanggar perintah PKP yang mana kelakuan itu dikhuatiri boleh merebakkan jangkitan penyakit berbahaya,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah mengumumkan bahawa tempoh PKP yang bermula sejak 18 Mac lalu dilanjutkan sehingga 14 April ini dan orang ramai perlu mematuhi arahan sepanjang tempoh itu.

Mengulas lanjut, Soffian berkata, mereka sudah diperintahkan reman pada esok, 27 Mac dan kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit,” katanya.

Sementara itu, di Kota Tinggi, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah, berkata polis menahan enam remaja selepas dipercayai berkumpul untuk mengadakan majlis sambutan hari lahir ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam kejadian di Laman Tun Sri Lanang, Jalan Niaga, Bandar Kota Tinggi, di sini, jam 5.30 petang tadi.

Beliau berkata, remaja berusia lingkungan 20-an itu ditahan anggota pasukan khas COVID-19 Kota Tinggi ketika menjalankan Rondaan Op COVID-19.

“Kita menahan tiga remaja lelaki dan tiga perempuan, selain mereka melakukan kesalahan kerana tidak mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan. Ketika anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) meronda, kumpulan remaja ini bersiap-siap untuk mengadakan majlis sambutan hari lahir.

“Turut dirampas sebuah pembesar suara mudah alih tanpa wayar dipercayai bertujuan memainkan muzik bagi meraikan sambutan hari lahir seorang daripada remaja itu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihak polis membuka kertas siasatan mengikut Peraturan 7 Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dengan tidak mengendahkan petugas PDRM dan ATM. Kita juga sedang mengesan seorang remaja lelaki daripada kumpulan berkenaan yang melarikan diri daripada diperiksa,” katanya.

– Berita Harian
– BHonline