Dua Penganggur Ditahan, Culik Warga Asing Untuk Dapatkan Wang Tebusan

Foto : Modus Aceh

KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan pihaknya telah menahan dua tempatan, dipercayai menculik wanita warga asing bagi tujuan mendapatkan wang tebusan.

Kedua-duanya ditahan dalam satu operasi di Klang Selangor, Jumaat lalu.

Menerusi satu kenyataan, Ketua Polis Daerah Serdang ACP A. A Anbalagan berkata kedua-dua lelaki berusia 31 dan 35 tahun itu ditahan pada pukul 1.30 tengah hari di sekitar kawasan Klang susulan laporan polis yang dibuat seorang wanita di Puchong yang memberitahu dua rakannya telah diculik lelaki tempatan ketika keluar berhibur.

“Pengadu telah menerima gambar menerusi aplikasi WeChat pada 10 Ogos lepas yang menunjukkan dua rakannya telah diikat dan ditutup mata selain dia diminta untuk membayar wang tebusan sebanyak RM20,000 bagi membebaskan mereka.

“Siasatan awal mendapati wanita berkenaan mengenali suspek ketika berhibur di sebuah pusat hiburan di Lembah Klang dan pernah mengambil nombor telefon suspek untuk simpanan.

Susulan itu polis melakukan operasi di sekitar Klang pada Jumaat lepas dan berjaya menahan dua suspek berkenaan,” katanya.

Kedua-dua suspek yang menganggur dan berasal dari Selangor masing-masing mempunyai dua dan tiga rekod jenayah mengaku telah membuat kegiatan sedemikian beberapa kali selain turut dikehendaki oleh polis daerah lain di Lembah Klang.

Kes disiasat bawah Seksyen 365/385 Kanun Keseksaan kerana menculik.