Wanita Dipenjara, Tuju Surat Beracun Minta Donald Trump Tarik Diri

Foto: BBC

Washington: Seorang wanita berusia 55 tahun mempunyai dua warganegara iaitu Perancis dan Kanada dijatuhi hukuman penjara hampir 22 tahun pada Khamis, kerana menghantar surat mengandungi ricin (protein yang sangat toksik) kepada Donald Trump semasa pemimpin itu Presiden Amerika Syarikat (AS).

Pascale Ferrier mengaku bersalah pada Januari lalu kerana melanggar larangan memiliki atau menggunakan senjata biologi terlarang.

Ferrier mengakui bahawa dia membuat ricin, protein tumbuhan yang sangat toksik yang diperoleh daripada biji jarak (castor bean) di rumahnya di Quebec, pada September 2020.

Dia menghantar surat yang mengandungi ricin pada bulan yang sama, dari Kanada ke Rumah Putih, yang ditujukan kepada Trump, dan surat beracun lain kepada lapan pegawai penguat kuasa undang-undang di Texas.

Suratnya kepada Trump mengandungi ‘bahasa yang mengancam’ dan menyerunya untuk menarik diri daripada pilihan raya yang semakin hampir, menurut Jabatan Kehakiman.

“Saya menemui nama baharu untuk anda: ‘The Ugly Tyrant Clown’ Saya harap anda menyukainya.

“Jika ia tidak berkesan, saya akan mencari resipi yang lebih baik untuk racun lain, atau saya mungkin menggunakan pistol saya apabila saya boleh datang. Selamat mencuba!” kata surat itu.

Pada masa menghantar surat itu, Ferrier juga menyiarkan di Twitter bahawa seseorang harus ‘menembak muka Trump’.

Mengancam Presiden AS adalah jenayah khusus yang membawa hukuman sehingga penjara lima tahun.

Jabatan Kehakiman berkata, pada 2019, Ferrier ditahan di Texas selama kira-kira 10 minggu kerana memiliki senjata.

Tiada siapa yang cedera dengan kandungan surat beracun itu. Semua mel Rumah Putih melalui kemudahan pemprosesan di pinggir bandar Washington, antaranya bertujuan untuk menyaring ancaman.

Selepas menghantar surat, Ferrier cuba memasuki AS menerusi Buffalo, New York, pada 20 September 2020.

Dia ditangkap di sana. Pegawai menemukan pistol dan ratusan butir peluru di dalam keretanya, menurut Jabatan Kehakiman.

Sumber: Harian Metro