Gempar Bayi Perempuan Ditinggalkan Di Tempat Buang Sampah Pasaraya

Foto : Kosmo

PADAWAN – Orang ramai digemparkan dengan penemuan seorang bayi perempuan yang ditinggalkan di tempat pembuangan sampah berdekatan sebuah pasar raya di Moyan Square, Batu Kawa, di sini hari ini.

Ketika ditemui, bayi yang diletakkan di dalam kotak itu masih hidup.

Pemangku Ketua Polis Daerah Padawan, Deputi Superintendan Lim Jaw Shyong berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan bayi itu kira-kira pukul 9.18 pagi.

“Orang awam telah menghubungi balai tentang penemuan bayi yang masih hidup berdekatan tempat pembuangan sampah di Pasar Raya Moyan Square, Batu Kawa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Lim berkata bayi itu telah dihantar ke Klinik Kesihatan Batu Kawa untuk rawatan dan pemeriksaan dan pihaknya masih menjalankan siasatan ke atas kes ini.

Satu video berdurasi 14 saat yang menunjukkan penemuan bayi itu turut tular di media sosial pagi tadi.

Sumber : Kosmo