Nelayan Maut, Rakan Cedera Tangki Gas Penyaman Udara Bot Meletup

Foto: Utusan Malaysia

MERSING, 18 Ogos- Seorang nelayan maut manakala seorang lagi cedera parah selepas tangki gas penyaman udara bot yang mereka naiki meletup di perairan Pulau Tinggi , semalam.

Ketua Polis Daerah Mersing Superintenden Abdul Razak Abdullah Sani menerusi satu kenyataan berkata lelaki berusia 43 tahun itu meninggal dunia di lokasi kejadian pada kira-kira 7 pagi akibat kecederaan parah di bahagian kepala manakala rakan mangsa, 59, yang juga cedera parah, kini dirawat di Hospital Mersing.

Beliau berkata bot itu dinaiki empat lelaki dan ketika kejadian, tiga daripada mereka sedang tidur. 

“Bagaimanapun, letupan berlaku di bahagian yang menempatkan tangki gas penyaman udara dan tiada kebakaran.

“Bot masih berfungsi dan akan balik serta berlabuh di jeti Endau untuk siasatan lanjut, ” menurutnya dalam kenyataan htersebut.

Kes masih dalam siasatan dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut. 

Sementara itu, Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Zon Maritim Mersing Komander Maritim Suhaizan Saadin pula berkata kejadian itu berlaku di kedudukan kira-kira empat batu nautika barat laut Pulau Tinggi.

Beliau berkata tekong Mohd Ariffin Mohamed, 57, yang cedera ringan memberitahu dia terdengar bunyi letupan kuat disusuli api menyambar dan terkena seorang kru yang berada di anjung bot itu.

Katanya mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Muhammad Arodi Sulaiman, 43, manakala yang cedera parah ialah Mamat Man, 59.

Seorang lagi kru yang terselamat dikenali sebagai Mohd Azri Che Soh, 43.