Wanita Di Texas Cemas Dililit Ular Dan Dicakar Helang Secara Serentak

Foto : Ary News

AUSTIN, TEXAS – Seorang wanita di negeri Texas, Amerika Syarikat berdepan detik mencemaskan apabila dia diserang seekor burung helang dan ular secara serentak, lapor laman berita Ary News hari ini. 

Peggy Jones ketika itu sedang memotong rumput di kawasan taman miliknya apabila seekor ular jatuh ke atas badannya secara tiba-tiba sebelum ia membelit tangan wanita berkenaan.

“Ular itu melilit dengan kuat dan saya terus menggoncang tangan ke udara untuk melepaskannya. Kemudian, seekor helang datang menyambar dan mencakar lengan saya berulang kali,” katanya.

Ular itu juga cuba mematuk cermin mata Peggy ketika helang tersebut terbang ke arahnya sebanyak empat kali untuk menangkap reptilia tersebut.

Helang itu kemudian berjaya melarikan ular tersebut sebelum suami Peggy berlari menyelamatkannya setelah mendengar jeritan mangsa.

Peggy dibawa ke hospital di mana dia dirawat akibat mengalami luka. Terdapat kesan lebam pada tangannya akibat dililit ular itu. 

Spesies reptilia itu bagaimanapun tidak diketahui. – Agensi