Penyewa ‘Tidak Tahu Malu’ Ingin Jual Rumah Disewa Kerana Sudah Duduk Bertahun Lama

Foto: Kosmo

PETALING JAYA – Tindakan seorang penyewa ingin menjual rumah yang disewanya mendapat kecaman daripada orang ramai kerana perbuatan itu dianggap melampau dan tidak bertanggungjawab.

Menerusi perkongsian di laman sosial, penyewa tersebut bertindak demikian kerana menurutnya sudah lama pemilik rumah tersebut tidak menghilangkan diri.

Tambah penyewa itu lagi, dia tinggal di rumah berkenaan secara percuma sejak 2021 selepas pemilik gagal dikesan.

“Selamat pagi Ahad. Saya ada menyewa rumah di Rawang. Macam mana prosedur nak jual rumah ini ya ?

“Boleh ke penyewa dapat bahagian kalau lepas jual rumah ini sebab dah lama saya sewa rumah ni. Dari belum ada anak sampai anak dah kahwin.

“Owner (pemilik) pun lama tak datang bertahun. Rumah banyak rosak sana sini,” tulisnya di media sosial.

Menurut penyewa itu lagi, rumah tersebut dimiliki oleh lelaki bujang dan kali terakhir ia membayar sewa pada tahun 2021 selepas pemilik menghilangkan diri.

“Jadi duduk free (percuma) sampai sekarang. Tu saya tanya macam mana prosedur jual atau boleh saya sewa balik pada orang lain sebab pemilik takde dah/ hilang,” ujarnya.

Susulan perkongsian itu, rata-rata orang ramai meninggalkan pelbagai reaksi dan komen pada hantaran tersebut.

“Orang punya memandai nak jual dah la duk free (percuma), senangnya hidup,” tulis Anita Saihu.

Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai Rafidah Aziz Syufie.

“Rezeki dah dok free (percuma) bertahun lamanya, dengan tak bersalah nak jual pula, tak takut dosa ke?,” soalnya. 

Sumber: Kosmo