Sekumpulan saintis baru-baru ini telah membina semula wajah seorang penjuang wanita berbangsa Viking yang sudah mati sejak 1000 tahun lalu. Pembinaan wajah itu berdasarkan penemuan tengkorak yang ditemui di kawasan perkuburan yang terletak di Solør, Norway,
Pada mulanya penemuan tengkorak itu tidak diumumkan sebagai seorang pejuang memandangkan tengkorak itu milik seorang wanita.
Namun ahli arkeologi Ella Al-Shamahi memberitahu The Guardian mereka turut menemui pelbagai senjata yang turut berada dalam kubur wanita terbabit antaranya pedang dan kapak.
Menurut kajian terdapat juga kecederaan di bahagian dahi wanita ini yang menyamai belahan pedang. Bagaimanapun saintis tidak tahu sama ada kecederaan yang disebabkan pedang itu menjadi punca kematian wanita Viking berusia ribuan tahun ini.
Sementara itu penstrukturan semula wajah wanita ini dibuat melalui beberapa lapisan kulit. Bagaimanapun menurut pensyarah senior di University of Dundee, Dr Caroline Erolin , ini bukan seratus peratus wajah sebenar wanita yang dimaksudkan namun dengan teknologi yang digunakan mereka yang mengenali wanita ini pasti dapat mengecam wajahnya.