Tragis! Wanita maut selepas nikmati gula-gula ganja

POLIS Britain mengeluarkan amaran mengenai risiko pengambilan ganja dalam bentuk gula-gula susulan kes kematian tragis melibatkan seorang wanita berusia 23 tahun.

Menurut laporan, mangsa membeli  gula-gula ganja dan memakan bahan itu bersama seorang rakannya di Ilford, timur London, lapor Kosmo.

Mereka kemudian jatuh sakit lalu dikejarkan ke sebuah hospital di London pada 29 Mac lalu.

Bagaimanapun wanita berumur 23 tahun itu meninggal dunia di hospital beberapa hari kemudian.

Polis masih menanti keputusan bedah siasat dan ujian ke atas beberapa gula-gula ganja  itu yang ditemui.

Menurut laporan polis lagi, terdapat kes serupa di mana seorang wanita jatuh sakit selepas makan gula-gula ganja di Tower Hamlets.

Selepas siasatan dijalankan, polis menahan seorang lelaki pada Jumaat lalu dan merampas produk ganja yang boleh dimakan beserta sejumlah wang tunai.

Dia didakwa pada keesokan harinya kerana memiliki bahan terlarang tersebut.

“Saya perlu memberi amaran kepada orang ramai agar tidak mengambil sebarang bahan terlarang (ganja) termasuk yang dibungkus dalam bentuk gula-gula.

“Selain diharamkan, pembungkusan dalam bentuk mesra kanak-kanak boleh membuatkan produk itu dimakan secara tidak sengaja,” kata Ketua Superitendan Kawasan Timur BCU Polis Metropolitan London, Stuart Bell.

Sumber: Kosmo