Tiada ‘Double Standard’, PM Thailand kena denda langgar SOP

PERDANA Menteri Thailand, Prayut Chanocha didenda 6,000 baht (RM 782) kerana tidak memakai pelitup muka semasa mesyuarat bersama penasihat pemerolehan vaksinnya.

Pihak berkuasa Bangkok pada Isnin telah menguatkuasakan perintah wajib pemakaian pelitup muka termasuk di dalam kenderaan yang melebihi seorang penumpang.

Prayuth didenda selepas sekeping gambarnya tanpa memakai pelitup muka tular di media sosial sewaktu mempengerusi mesyuarat. Gambar yang dimuatkan di Facebook rasmi Prayuth itu bagaimanapun telah dipadam kemudiannya.

Dalam pada itu, Gabenor Bangkok Aswin Kwanmuang dalam laman rasmi Facebooknya berkata beliau memfailkan aduan terhadap perdana menteri pada Isnin.

Aswin berkata perdana menteri diberitahu bahawa beliau telah melanggar peraturan yang mewajibkan pemakaian pelitup muka, semasa di luar kediaman.

“Beliau (Prayuth) telah dikenakan denda 6,000 baht… Beliau setuju untuk membayarnya,” katanya.

Seksyen 51 Communicable Diseases Act 2015 Thailand menetapkan bahawa seseorang yang telah melanggar peraturan itu boleh dikenakan denda maksimum 20,000 baht (RM 2,604).

Bagaimanapun, media Bangkok Post melaporkan pegawai penguatkuasa mungkin menimbangkan pertuduhan yang lebih ringan berdasarkan peraturan berkaitan denda itu, yang antara lain menetapkan denda 6,000 baht bagi kesalahan kali pertama, 12,000 baht bagi kali kedua, dan 20,000 baht bagi kali ketiga.

Semalam merupakan hari pertama peraturan memakai pelitup muka diwajibkan di tempat awam di Bangkok bagi menangani penularan COVID-19 susulan jumlah kes jangkitan yang melonjak ketika ini.

Sumber: BERNAMA